Thursday, August 30, 2012

Tiada tajuk (ii)


Beberapa hari lalu (boleh juga dibaca beberapa minggu lalu), saya sifatkan diri saya tumpas, kecundang. Kalian tidak tahu kerana hanya hati yang mengerti - juga Dia.

Walaupun masih ada sisa-sisa harapan terkutip di celah-celah penyesalan, tetapi seluruh usaha sejak setahun dua ini, terasa seakan-akan sia-sia.

Terasa benar, naluri kekesalan berdetik dan lunak memujuk seraya berkata-kata: "Mula semula."

Ah, alangkah!

Hanguskah segala usaha-usaha lalu? Mudah-mudahan tidak. Walaupun barangkali kecil amat tapi bukan mudah. Sangat sukar buat saya walaupun kelihatan mudah buat kalian.

Dan, bimbang, paling saya takuti - ia berulang dan berulang. Lagi dan lagi.

Manusia sangat lemah. Saya juga.

Untuk melintasi sungai deras, perlukan sekurang-kurangnya titi atau sampan. Tanpa titi dan sampan, mudahlah terhanyut kembali ke pusar bangsat.

Kerana itu, kadang-kadang hati berdetik - mati lebih baik supaya tidak lagi berdepan pancaroba yang selalu disebut-sebut sebagai ujian.

Tapi, kadang kala juga, terasa mahu hidup seribu tahun lagi kerana benak itu sudah bertimbun-timbun. Masakan rata sebuah gunung jika dicangkul hanya sehari dua?

Betapa cakap memang mudah, menulis ini juga tidak sukar. Tapi, untuk memadankan tekad dengan perbuatan, tersangatlah payahnya.


4.14 pagi
30 Ogos 2012

Tiada tajuk

Ibadah kita, entahkan sempurna entahkan tidak. Entahkan diterima, entahkan ditolak-Nya. 

Sebagai manusia yang fitrahnya serba-serbi lemah walaupun ada waktunya kita tampak gagah dan hebat di mata manusia lain, kita cuma mampu berusaha dan berusaha memberi yang terbaik kepada-Nya.

Yang pasti, Syawal sudah menjelma. Kenikmatan Ramadan tidak lagi bersama kita. Maka, tunggulah tahun depan untuk me
ngatasi ketidaksempurnaan itu - itupun jika ada hayat, dengan izin-Nya.

Dan ibadah bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga. Juga bukan solat semata-mata. Bukan sekadar baca al-Quran, bukan qiyam, bukan iktikaf yang kadang-kala kita tayangkan kepada umum.

Namun, melakukannya tetap mulia dan soal nawaitu - bukan sepatutnya dalam hitungan manusia sesama manusia. Biarlah Allah yang menilainya dan jangan cuba-cuba menjadi tuhan.

Mudah-mudahan, kita dijauhi Allah dari sifat kemunafikan yang sejujurnya tidak semudah menuturkannya kerana hati manusia ini aneh - berbolak balik senantiasa.

Apapun, tahniah kepada yang sungguh-sungguh memuliakan Ramadan.

Mungkin kagum, barangkali cemburu, saya mengharapkan Ramadan ini bukan yang terakhir kerana ketidaksempurnaan sangat terasa mengepung diri.

Ketika ramai mengejar ibadah hebat-hebat, saya terkial-kial serba-serbi - ada kala terasa sepi tanpa ada tangan-tangan yang sudi menghulur semangat.

(Barangkali, saya perlukan 1,000 Ramadan lagi untuk menebus dosa lalu, yang acap kali juga menjentik naluri keinginan untuk mengulangi lagi, dan lagi).

Apapun, (sebagai peringatan diri) - tidak boleh tidak - ibadah walau sekhusyuk mana sekalipun, belum lengkap selagi mata dan hati terus bungkam terhadap kemungkaran yang melingkar bebas di sana sini.

Kerana, sebagai manusia - dosa juga ada nikmatnya tapi dilaknati-Nya. Selagi kemungkaran bersimpang siur mengelilingi kita, tidakkah bimbang ia menjangkiti hati yang sepatutnya diperuntuk kepada-Nya?

Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin daripada saya.


18 Ogos 2012
8.24 malam