Wednesday, October 14, 2009

aku dan stokin adalah nostalgia paling basah.

1997.

isnin. saya menumpang tidur di rumah kawan ketika itu.

paginya, saya terkocoh-kocoh untuk menghadiri temu duga. ia amat penting buat saya, terlalu penting kerana saat itu saya dalam keadaan goyah sangat. saya perlu berjaya untuk meneruskan hidup yang tercantas dek kesilapan sendiri.

selepas mandi, berpakaian dan memastikan saya kacak seperti biasa, saya bergegas ke muka pintu sambil mengekori seorang kawan yang menawar diri untuk menghantar saya ke lokasi temu duga.

"ehh, mana stokin aku sebelah lagi?" mata saya melilau dan tangan mula memunggah serta menterbalik lambakan kasut yang ketara berserakan.

tiada.

"cepatlah lakhanat, aku nak pergi kerja ni," kawan saya sudahpun menghidupkan kereta, dan bunyi enjin gagal menenggelamkan laungannya.

saya terpinga-pinga. tapi, tangkas membuat keputusan.

"sebelah pun sebelahlahhhhh..." saya berlari anak ke kereta yang bukan buatan malaysia itu.

alhamdulillah, saya berjaya dalam temu duga itu dan diterima sebagai kakitangan syarikat media tersohor di negara ini. maka bermulalah kehidupan saya selaku seorang wartawan di media arus perdana sehinggalah saya berhenti, akhir julai lalu.

* * *

2009.

ahad. saya sedang diulek mimpi paling basah ketika menerima panggilan telefon yang meminta saya hadir temu duga yang sepatutnya berlangsung pada isnin.

"haji takut esok dia sibuk. kau datang sekarang. bawa apa yang patut," saya mengangguk-angguk kepala dengan mata separa pejam.

tanpa mengeliat, saya mandi, berus gigi dan berpakaian sekacak-kacaknya.

anak masih tidur tapi isteri memandang tanpa kerdip, seakan-akan terpesona.

"malam kang," saya bertegas kemudian dipeluk dan dikucup mesra.

tanpa mempeduli perasaan yang menjalar, saya mengutip kasut dan bertanyakan isteri:

"eh, mana stokin abang...?"

"alamak bang, basah lagi. `kan malam tadi saya cuci," isteri menjawab sambil mempamer riak bersalah tapi saya mengerti isteri membasuh awal sebagai persiapan untuk isnin.

"hmmmm..."

dan, tanpa stokin, berkaki togel yang dilitupi sepasang kasut yang malamnya tidak sempat dikilat lantaran kebasahan di ranjang, saya dengan kacak melangkah ke lokasi temu duga.

alhamdulillah, saya berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja sebagai wartawan media alternatif sehinggalah sekarang.

2 comments:

  1. tips terbaru..sila jangan pakai stokin ketika interview..ngeeee...hehehe

    ReplyDelete
  2. kau rasa bila pulak kali ketiga kau akan pie temuduga dengan tidak berstokin

    ReplyDelete