Thursday, August 30, 2012

Tiada tajuk (ii)


Beberapa hari lalu (boleh juga dibaca beberapa minggu lalu), saya sifatkan diri saya tumpas, kecundang. Kalian tidak tahu kerana hanya hati yang mengerti - juga Dia.

Walaupun masih ada sisa-sisa harapan terkutip di celah-celah penyesalan, tetapi seluruh usaha sejak setahun dua ini, terasa seakan-akan sia-sia.

Terasa benar, naluri kekesalan berdetik dan lunak memujuk seraya berkata-kata: "Mula semula."

Ah, alangkah!

Hanguskah segala usaha-usaha lalu? Mudah-mudahan tidak. Walaupun barangkali kecil amat tapi bukan mudah. Sangat sukar buat saya walaupun kelihatan mudah buat kalian.

Dan, bimbang, paling saya takuti - ia berulang dan berulang. Lagi dan lagi.

Manusia sangat lemah. Saya juga.

Untuk melintasi sungai deras, perlukan sekurang-kurangnya titi atau sampan. Tanpa titi dan sampan, mudahlah terhanyut kembali ke pusar bangsat.

Kerana itu, kadang-kadang hati berdetik - mati lebih baik supaya tidak lagi berdepan pancaroba yang selalu disebut-sebut sebagai ujian.

Tapi, kadang kala juga, terasa mahu hidup seribu tahun lagi kerana benak itu sudah bertimbun-timbun. Masakan rata sebuah gunung jika dicangkul hanya sehari dua?

Betapa cakap memang mudah, menulis ini juga tidak sukar. Tapi, untuk memadankan tekad dengan perbuatan, tersangatlah payahnya.


4.14 pagi
30 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment