Sunday, April 26, 2015

Negeri Kacau Darul Galau




Di bilik mesyuarat istana, Sultan Sheriffudin Shah bin Sultan Coboy Shah dan para mamanda panas dengan perbincangan hangat, lebih-lebih lagi aircond rosak lantaran amalan berkedekut pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda baru sahaja menumbuk meja. Para Mamanda tertelan lidah.

"Bukankah beta sudah cakap. Beta tidak mahu Tun Tijah!" bentak Sultan Sheriffudin kemudian mengorek hidung yang tidaklah sebesar lobang hidung Ahmad Nisfu.

"Mengapa tuanku?" tergagap-gagap Datuk Canggung membuka bicara. Tapi aircond masih tutup. Buat apa buka kalau rosak?

"Sedangkan segala teruna tergila-gila akan Tun Tijah, bahkan segala laki orang, segala laki suka lelaki, segala perempuan berupa lelaki pun terdamba-damba akan Tun Tijah.

"Gerangan apakah yang menghalang tuanku mengambil Tun Tijah sebagai Cif Gundik? Patik bimbang tuanku kelak dicerca rakyat."

Datuk Perang-Anu makin berani bersuara apabila melihat Sultan Sheriffudin tidak lagi semurka tadi. Namun, bimbang juga kalau-kalau mukanya pula jadi meja mesyuarat.

Sultan Sheriffudin mendongakkan kepala, memandang siling tapi yang ternampak hanyalah penghawa dingin yang masih rosak. Hatinya kembali panas, sehangat buncitnya yang makin berkeringat.

Baginda menarik nafas, cuba mengawal amarah. Tak mahu lagi menumbuk meja. Sakit tangan tadipun belum hilang lagi. Diurut-urutnya dagu - gaya klise kasta bangsawan supaya setara lagak ulama.

"Ehh, beta mana ada janggut..."

Segera tangannya dipindah ke kepala, digaru-garunya. Sedap. Mungkin sebab taik hidung sudah berpindah ke rambut. Tapi keasyikan itu terganggu dek setanjak kuning yang membalut kepala hotaknya.

Sultan Sheriffudin mundar-mandir sambil buat muka don't know. Masih mencongak-congak itu ini.

Tun Tijah memang cun. Tapi baginda bimbang, negara akan porak peranda jika Tun Tijah dilantik Cif Gundik. Barang tentu, gundik-gundik lain akan melenting.

Baginda tahu sebahagian gundik-gundiknya tidak sukakan Tun Tijah. Tapi hanya pura-pura suka supaya tidak dilihat cemburu buta.

Masing-masing pula macam-macam perangai ada. Yang kaki tonggang, yang kaki kelentong, kaki joget dan macam-macam kaki lagi. Paling ramai kaki ampu. Pedulilah.

Yang penting kaki mereka mulus. Dan gebu.

"Nanti, aku juga yang tak dapat," keluhnya sendirian sambil membayangkan.

"Tuanku"

Sultan Sheriffuddin tersentak lagi. Sedikit murka kerana lazat khayalannya terganggu. Binawe betul Datuk Perang-Anu, katanya dalam hati.

"Semua gundik sudah beri sokongan. Siap ada cop mohor dari Bukit Segambut, tuanku. Maka, elok-eloknya perkenankanlah supaya tuanku melihat keadilan, keadilan rakyat kita," tingkah Datuk Canggung.

Baginda menggeleng-geleng kepala sambil mencebik.

"Tidak. Tidak.  Tun Tijah itu hanya boneka. Dan beta tidak mahu diperolok-olok dalam sandiwara politik. Nanti dengan beta sekali kena republic move.

Baginda sebenarnya bimbang menjadi lembut hati apabila bertentang mata dengan wajah welfare Tun Tijah. Sebab itu, hasrat Tun Tijah untuk mengadap pun ditolaknya mentah-mentah.

"Beta kena tunjuk kuasa. Pedulikan segala cop mohor mahupun cop lovebite. Asalkan Bukan Tun Tijah!

Jadi, siapa pula gerangan yang bakal menjadi cif Gundik, tuanku? Patik bimbang keadaan negeri akan kacau bilau, malah galau," kedengaran Penasihat Agama, Haddy berkata-kata.

Sultan Sherifuddin diam, berfikir berjenak-jenak. Lama baginda berfikir, naik benak otaknya.

Tidak lama kemudian, mentol pun bercahaya di benak baginda walaupun aircond masih rosak.

"Panggilkan beta Kepala Penyamun kepada 40 penyamun di Gua Hira," kata baginda tiba-tiba.

Para mamanda berpandangan sesama sendiri.

"Yang mana satu, tuanku? Patik sekalian tidak mengerti," kata Datuk Perang-Anu.

"Alah, yang berdoa ambil gambar lepas kebas hartu qarun berlori-lori," kata baginda.

"Ohhhhh..."






No comments:

Post a Comment