Wednesday, April 21, 2010

sesekali naluri membangsat diri, kengiluan pantas berperasaan.

(dua puluh satu april dua ribu sepuluh)

sejak kian pulih dari azab penderitaan yang terjadi saat aku teruja menghala ke permaidani kemuliaan tanpa bulat keikhlasan hingga tersungkur dalam menghambat garisan penamat, rupa-rupanya aku semakin banyak kehilangan.

selain masa yang disaratkan dengan beban kerja dan tanggungjawab, aku juga berasa jauh daripada kenakalan yang dulu ligat berpeleseran, menggelitik di segenap urat nadiku.

aneh. benar-benar aneh.

aku tidak lagi berasa seperti menjadi diri sendiri. aku bagaikan terawang-awang, seakan-akan menjadi orang lain yang meminjam jasad seorang insan yang sayup dari belitan dosa.

pun begitu, ia sebenarnya suatu penyeksaan, seakan-akan ada kuku yang membenam jantungku dan tak mahu tanggal-tanggal; seolah-olah ada duri halus yang menusuk sedalam-dalamnya di hujung jemariku.

walau ada naluri yang menjentik keinginan untuk kembali ke pusar kenakalanku, tapi sejujurnya aku enggan. kerana dulu, kenakalanku bersiuran tanpa menyedari kesan dan padahnya.

sekarang, tidak mungkin. atau sekurang-kurang tidak mahu.

aku kini amat arif betapa padahnya begitu luar biasa sekali, teramat ngilu lagi kejam. dan aku tak sanggup mendepani cabaran naluriku sendiri.

walau sesekali tercabar tanpa dicabar, tapi aku tetap membiarkan diriku menjadi pengecut, asal saja aku tidak lagi terjunam atau dijunam ke jurang dalam, hamis dan penuh duri yang pernah membuat aku tertiarap hingga memaksa aku merangkak, memanjat dalam lelah dengan sisa nafas.

mujur ada tangan-tangan yang sudi membiar telapaknya dicalar, dilukai; semata-mata menyudikan dirinya membantu aku sehingga mampu jua aku berdiri dalam payah.

dan, aku amat mengerti.

tangan-tangan itu sudah pergi, belum tentu kembali andai aku terhantar lagi ke jurang yang sama yang tentunya ditafsir sebagai terjunan yang menjunam ke jahanam.

jadi, biarlah aku meredakan kesakitanku dengan kesibukanku. walaupun cita-cita, impian peribadi tergadai, dihanyut peredaran waktu hingga terkatup hayatku.

Allah, aku pasrah.