Tuesday, November 27, 2012

Sunday, November 25, 2012

Pasrah


(i)

Mungkin tadi, baru aku benar-benar memahami, menghayati erti pasrah.

Membiarkan takdir bergolek, menggelek segala harapan yang sangat teringin - barangkali ranap, barangkali hancur, barangkali juga subur.

Selepas segala daya - pada takat kudrat - dihambur, dikerah, diperah, apa lagi yang tersisa saat harapan kian malap.

Namun, untuk tunduk mengalah, itu bukan resmi insan berhati waja. Biarlah air mata bergenang atau mengucur dari kelopak sengsara, usaha harus terus.

Kerana harapan bukan takdir.

Biarpun setipis kulit bawang, kejarlah. hambatlah. Asal sahaja tidak menderhaka pada moral, pada manusiawi dan kepada-Nya.

Dikalahkan takdir, masih suatu kemenangan andai mampu terus memanjangkan harapan. Dari satu takah ke satu takah, harapan harus sentiasa di depan.

(ii)

Aku terkesan ada genangan air mata bapa si anak itu. Saat itu, terasa ada selumbar mencucuk-cucuk emosiku. Tapi kutahan kerana itu perlu. Bahkan kemestian.

Jika ditakdir aku - harus pura-pura, biarlah aku jadi sahabat yang hipokrit daripada berkongsi tangis tapi menambahkan perit dukamu.

Dengan selamba, berbekal riak wajah tak ada apa-apa, aku terus bercakap-cakap, dengan sejujurnya - tanpa menjulang harapan palsu, tanpa mengoyak setipis harapan.

"Kita wajar pasrah tapi bukan menyerah," kataku sebaik sahaja si bapa itu menyatakan kepasrahannya terhadap nasib anak sulungnya, Adam Azfar yang mengidap tumor di otak.

"Sekurang-kurangnya, kau masih ada pilihan. Masih ada masa untuk mencari penawar meskipun kelihatan sukar, mungkin juga mustahil."

"Sesetengah orang, tidak diberi pilihan. Anak mereka hilang begitu sahaja, sekelip mata. Diculik tanpa jumpa-jumpa atau tergelatak kemalangan tanpa sempat ke hospital."

Kuteguhkan lagi wajahku - lagak seakan-akan tidak terkesan dengan derita yang ditanggungnya. Kupandang tepat ke matanya yang masih bergenang sedih.

Si bapa seakan-akan mencongak-congak kata-kataku.

Sebelum meninggalkan bilik wad, aku mahu menepuk bahunya tapi pengalaman melarang aku. Maka, aku bergegas keluar tanpa menoleh ke belakang.


Lagipun, di depanku juga ada pasrah yang tak pernah kalian tahu.



25 November 2011
3.55am