Thursday, December 23, 2010

March

Aku sedang menyusun atur buku-buku di meja untuk jualan di bazar haji, sekitar Ogos 2010. Buku-buku tidaklah banyak - adalah dalam 15 ke 20 judul. Aku ambil secara konsaimen daripada beberapa organisasi penerbitan.

Namun, gerai yang keluasan tapaknya 10x 12 dengan sewa RM2,000 untuk 31 hari itu, bukanlah gerai buku tapi menjual pakaian kanak-kanak dan kemeja-T. Saja jual buku demi memuaskan hobi daripada memikir untung yang bakal masuk ke kantung.

Berbanding hari lain, kali ini aku agak kelapangan, bolehlah luangkan masa untuk menjaga gerai yang selalunya dikendalikan isteri yang tidak minat baca buku.

Sementara memulakan tugas di Suara Keadilan, aku senang berada di gerai itu. Lebih damai dikelilingi buku daripada ditimbuni helaian akhbar.

"Bang, kita tawan Putrajaya Mac ini ke?" tanya Diyana - rakan niaga yang maha cantik di mata orang lain, tidak di mataku. Secara mudah - Not my taste.

Sebenarnya, dia wartawan portal berita TV Selangor - tempat aku bekerja sekarang (ketika itu).

"Mac?"

Dahi saya berkerut. Memang ada jangkaan pilihan raya umum berlangsung Mac ini, tapi seingat saya tiada pula buku politik mahupun ilmiah yang menyebut hal itu. Lebih-lebih lagi, buku yang saya jual.

"Nih tajuk buku ni kata..." balas Diana yang lebih gemar membeli, menggayakan pakaian moden
daripada membeli, apatah lagi membaca buku.

Mata saya pantas memburu pandangan buku itu.

Sambil memegang buku, Diana masih menunggu jawapan tetapi saya cuma mampu terbahak-bahak sambil menekan perut yang senak.

Diana terpinga-pinga. Mungkin tersinggung, Diana yang berskirt pendek kemudian berlalu pergi.

Buku 'The March To Putrjaya' tergelimpang di meja peragaan.



Saya masih ketawa.

Wednesday, June 2, 2010

aku mahu menulis sajak, bukan mengedit berita !

(dua jun dua ribu sepuluh)

i.

barangkali, aku sudah terlalu rindu.

selama ini kubiarkan rindu itu tertampung sendiri, terbiar berolengan tanpa bilah dayung. walau sesekali terjengah-jengah aku akan daratan itu tapi hati ini tidak kuat untuk kembali menjejak tanah itu.

justeru, sengaja aku bermain-main jauh dari daratan yang pernah memulangkan aku dari kebinatangan kepada kemanusiaan, biarpun kemanusiaan itu belum cukup insani sifatnya.

selama-lama ini, aku cuma memerhati daratan itu dari sayup kesibukan yang kubina sebagai tembok pemisah demi melupakan kedangkalan masa lalu terutama kedangkalan yang satu - yang tidak seharusnya terjadi tatkala aku mula memanusiakan diri.

ii.

kebelakangan ini, kesibukan pula menghantar aku pada belitan masalah baru yang menjerut halus. pun begitu, seboleh-bolehnya aku menakung sabar sambil cuba merungkainya sedikit demi sedikit.

tapi, belitan itu kian kejap menjerut, menjadikan suara jeritanku seakan-akan tidak lepas dari kerongkong. bergema sekadar dalam lingkungan diri sendiri tanpa ada telinga yang sudi meminjam gegendang.

sejujurnya, aku belum puas dengan kesibukanku. malah, telah aku katakan aku gembira dengan kesibukanku. karena, kesibukan adalah pembelajaran untukku, adalah pengalaman buatku. sayangnya, kegembiraan itu juga acap kali juga diragut layar masalah.

hairan, ketika keseronokan kian menapak puncak, aku selalu ditembungkan dengan suatu masalah yang sungguh-sungguh membuat aku gusar untuk terus bermain dengan kesibukan ini.

lebih-lebih lagi, aku sesekali menyalahkan kesibukanku karena hasrat untuk bersesekali cuba-cuba mengintai tanah daratan itu, sewenang-wenang dibidas bebanan kesibukan.

dan tadinya, aku menikmati persahabatan bersama beberapa teman dari tanah daratan. dalam mabuk teh tarik, aku diapung bahagia. benar-benar melarikan aku dari putaran kesibukan dan desah masalah.

pada saat ini, aku cuba menanam tekad pada batas kudrat.

entahlah, aku tidak pasti, tumbuhnya nanti, adakah lalang yang bakal menyemak otak atau delima ranum buat penghilang lapar jiwa.

mampukah aku kembali selepas lama membuang diri?
5.42 am

Sunday, May 9, 2010

selamat hari ibu, isteriku.

sempena hari ibu ini, seorang bapa mendedahkan petikan mesej facebook dari ibu yang baik kepada suaminya yang pernah jahat:


"sejak 2 mgu lalu kerap kali eita teringat ms silam yg terlalu membuat eita menderita dan hampir2 meruntuhkan umahtangga menghancurkan kebahagiaan."

"Bukan eita nk mengungkit, eita sendiri xnk ingat, ianya membuatkan eita parah. abg tipu eita sebulat2nya sehingga mengenepikan eita. Derita sgt. Smpi skrng eita takut ianya berulang."

"utk mengembalikan kepercayaan amat sukar, was2 sentiasa ada. Eita syng abg, sayang eita terhdp abg tetap kuat sprti ms mula2 bercinta d USM wlpun bnyk duri2 menyucuk kebahagiaan eita cari."

"eita mengharapkan ketenangan kebahagiaan keharmonian rumahtangga dr abg. Berilah eita peluang."

"Maaf meluahkan."

Wednesday, April 21, 2010

sesekali naluri membangsat diri, kengiluan pantas berperasaan.

(dua puluh satu april dua ribu sepuluh)

sejak kian pulih dari azab penderitaan yang terjadi saat aku teruja menghala ke permaidani kemuliaan tanpa bulat keikhlasan hingga tersungkur dalam menghambat garisan penamat, rupa-rupanya aku semakin banyak kehilangan.

selain masa yang disaratkan dengan beban kerja dan tanggungjawab, aku juga berasa jauh daripada kenakalan yang dulu ligat berpeleseran, menggelitik di segenap urat nadiku.

aneh. benar-benar aneh.

aku tidak lagi berasa seperti menjadi diri sendiri. aku bagaikan terawang-awang, seakan-akan menjadi orang lain yang meminjam jasad seorang insan yang sayup dari belitan dosa.

pun begitu, ia sebenarnya suatu penyeksaan, seakan-akan ada kuku yang membenam jantungku dan tak mahu tanggal-tanggal; seolah-olah ada duri halus yang menusuk sedalam-dalamnya di hujung jemariku.

walau ada naluri yang menjentik keinginan untuk kembali ke pusar kenakalanku, tapi sejujurnya aku enggan. kerana dulu, kenakalanku bersiuran tanpa menyedari kesan dan padahnya.

sekarang, tidak mungkin. atau sekurang-kurang tidak mahu.

aku kini amat arif betapa padahnya begitu luar biasa sekali, teramat ngilu lagi kejam. dan aku tak sanggup mendepani cabaran naluriku sendiri.

walau sesekali tercabar tanpa dicabar, tapi aku tetap membiarkan diriku menjadi pengecut, asal saja aku tidak lagi terjunam atau dijunam ke jurang dalam, hamis dan penuh duri yang pernah membuat aku tertiarap hingga memaksa aku merangkak, memanjat dalam lelah dengan sisa nafas.

mujur ada tangan-tangan yang sudi membiar telapaknya dicalar, dilukai; semata-mata menyudikan dirinya membantu aku sehingga mampu jua aku berdiri dalam payah.

dan, aku amat mengerti.

tangan-tangan itu sudah pergi, belum tentu kembali andai aku terhantar lagi ke jurang yang sama yang tentunya ditafsir sebagai terjunan yang menjunam ke jahanam.

jadi, biarlah aku meredakan kesakitanku dengan kesibukanku. walaupun cita-cita, impian peribadi tergadai, dihanyut peredaran waktu hingga terkatup hayatku.

Allah, aku pasrah.

Sunday, March 14, 2010

copy



sesekali kepahitan menerpa, setiap kali kepedihan terkangkang.

Tuesday, January 26, 2010

izinkan aku menjadi ubatmu walau racun sifatku

(dua puluh lima januari dua ribu sepuluh)

antara perkara paling menyedihkan adalah apabila melihat insan yang pernah menghulur tangan saat aku di ambang rebah dan sempat pula mengajar erti tabah, tiba-tiba dihimpit kepayahan.

tambah membingungkan apabila insan itu berkeras - walau dalam raut penuh manis senyuman, tidak mahu berkongsi kepayahan dan simpati aku pula ditafsir sebagai kehadiran paling tidak perlu.

dan, ketika hasrat kuat bergelombang demi melunas hutang sebuah budi, aku dipanah ragu-ragu - bimbang tangan ikhlas yang mahu kuhulur, rupa-rupanya kuku jemariku melukai tanganmu yang mahu kupaut.

dan, aku menyalahkan diriku kerana lemah upaya dalam menyakinkanmu betapa aku mampu membantumu - mengulangi sekelumbit bantuanmu padaku (dan keluargaku).

atau mungkin benar telahanmu. aku sebetulnya tidak mampu membantu kecuali menghadirkan kerosakan bukan kepalang seperti yang pernah kaulihat, sejenak sebelum kau hulur tangan membantu aku.

barangkali benar, kau lahir untuk membantu. aku lahir untuk dibantu. cis, jejaka o.k.u rupanya aku. biarlah, kerana aku bahagia dibahagiakanmu.

sejujurnya, aku cuma mahu menghulur sebelah tanganku padamu yang tercungap-cungap, terkapai-kapai biarpun tidak kutahu di sungai mana lemasmu itu; tanpa aku melepaskan sebelah lagi tanganku yang teguh mendukung keluargaku - tanggungjawabku.

itu ajaranmu sebaik sahaja aku terlepas dari terjunam ke lembah petaka runcing, hasil pautan tanganmu yang tak mungkin kulupa sehayat usiaku.

dari kejauhan ini, cuma kulempar pesan pada semilir bayu: 'kegembiraan selalu terselit di antara kepayahan dan kepedihan. dan kesibukan cuma bius, bukan ubat.'

ahh, betapa aku ingin menjadi ubatmu, walau entahkan mujarab, entahkan tidak.

...tapi racun sifatku.