Tuesday, January 26, 2010

izinkan aku menjadi ubatmu walau racun sifatku

(dua puluh lima januari dua ribu sepuluh)

antara perkara paling menyedihkan adalah apabila melihat insan yang pernah menghulur tangan saat aku di ambang rebah dan sempat pula mengajar erti tabah, tiba-tiba dihimpit kepayahan.

tambah membingungkan apabila insan itu berkeras - walau dalam raut penuh manis senyuman, tidak mahu berkongsi kepayahan dan simpati aku pula ditafsir sebagai kehadiran paling tidak perlu.

dan, ketika hasrat kuat bergelombang demi melunas hutang sebuah budi, aku dipanah ragu-ragu - bimbang tangan ikhlas yang mahu kuhulur, rupa-rupanya kuku jemariku melukai tanganmu yang mahu kupaut.

dan, aku menyalahkan diriku kerana lemah upaya dalam menyakinkanmu betapa aku mampu membantumu - mengulangi sekelumbit bantuanmu padaku (dan keluargaku).

atau mungkin benar telahanmu. aku sebetulnya tidak mampu membantu kecuali menghadirkan kerosakan bukan kepalang seperti yang pernah kaulihat, sejenak sebelum kau hulur tangan membantu aku.

barangkali benar, kau lahir untuk membantu. aku lahir untuk dibantu. cis, jejaka o.k.u rupanya aku. biarlah, kerana aku bahagia dibahagiakanmu.

sejujurnya, aku cuma mahu menghulur sebelah tanganku padamu yang tercungap-cungap, terkapai-kapai biarpun tidak kutahu di sungai mana lemasmu itu; tanpa aku melepaskan sebelah lagi tanganku yang teguh mendukung keluargaku - tanggungjawabku.

itu ajaranmu sebaik sahaja aku terlepas dari terjunam ke lembah petaka runcing, hasil pautan tanganmu yang tak mungkin kulupa sehayat usiaku.

dari kejauhan ini, cuma kulempar pesan pada semilir bayu: 'kegembiraan selalu terselit di antara kepayahan dan kepedihan. dan kesibukan cuma bius, bukan ubat.'

ahh, betapa aku ingin menjadi ubatmu, walau entahkan mujarab, entahkan tidak.

...tapi racun sifatku.

3 comments:

  1. salam maulidur Rasul dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. rajin2, jemput laa singgah ke my blog, Aku Sebutir Pasir.. :)

    ReplyDelete