Sunday, November 22, 2009

kubawa tangisan ini ke singapura, teesya.

bohong kalau saya katakan penang tiada kenangan manis.

walaupun rimas dengan kesesakan kota, pening kepala dengan karenah sebahagian penduduknya - baik melayu, cina, india; bengang dengan sikap bos, biul dengan lagak sombong anak mami, sakit hati dengan gelagat pemandu, tapi penang tetap ada nostalgia.

di penang, saya secara berasingan terberkenalan dengan dua gadis - chafizomie dan teesya. kedua-dua mereka yang saling tidak mengenali, sentiasa baik terhadap saya sepanjang masa.

dulu, kini dan selamanya.

mereka langsung tidak pernah menyusahkan saya walau sekalipun, walau sekalipun - biarpun saya kerap menyusahkan kehidupan mereka. mereka, sebagai perempuan bujang pintar menganggar sempadan persahabatan dengan lelaki berstatus suami.

Bijak mereka menghindar perasaan dari terpaut hati dengan saya. mereka sama sekali tidak pernah cuba menggugat kedudukan isteri. sama ada mereka berasa tidak layak berlakikan saya yang separa kacak, itu saya kurang periksa.

teesya.

atau ejaan sepatutnya, tisya. nama sebenarnya siti atisya. adalah seorang perempuan yang saya kenal melalui skype. lebih awal dari perkenalan saya dengan chafizomie. fariz iswadi - rakan sepejabat ketika itu, yang memperkenalkan kami.

entah.

antara kami seolah-olah terjalin persahabatan akrab, langsung saya dan fariz menjadi penghuni tetap restoran istimewa yang menyediakan wife percuma - lokasi sama ketika pertama kali bertemu ckbayu.

kami pada peringkat awal perkenalan memang gila berskype. biasanya kami voice, tidak hanya berchat. penat beb, tulis, tulis aje. bercakap lagi senang. sampaikan saya memandu merah-merah manja pun sempat berskype - voice.

kami jadi akrab dan akrab dan akrab.

kira-kira sebulan lamanya, kami - setiap hari meladeni skype antara jam 12 tengah malam hingga 4 atau 5 pagi. kami saling kutuk mengutuk, bernyanyi dan ntah apa-apa lagi. ceria, menjadi tema persahabatan.

kami saling mempercayai. tiada hidden agenda antara kami. tiada kepentingan yang mengikat persahabatan kami. saya sendiri mulanya tidak menganggap teesya sebagai orang yang penting dalam kehidupan peribadi.

sekadar kawan maya, kawan biasa.

sehinggalah peredaran masa membuatkan saya menyedari yang teesya adalah seseorang yang boleh diharap sebagai sahabat. sahabat yang boleh kita ceritakan apa saja sesuka hati - tiada batasan, tiada kekangan.

sejak itu, dari berskype, kami bertelefon. fariz paling rajin bergayut dengan teesya. kata-kata fariz selalunya gila-gila tapi sopan lagi lucu. kata-katanya selalu tak senonoh tapi tak pernah lucah.

lain pula saya, sarat dengan unsur romantisme dan lucahisme.

"bosanlah zall ni," complain teesya apabila saya kerap menggunakan ungkapan ala-ala romeo, walaupun antara kami hanya ada persahabatan. sejujurnya, saya tak reti bercakap dengan nada dan gaya fariz.

(sebagai lelaki separa kacak, saya secara automatik dengan mudah menjadi seorang lelaki paling romantis apabila bersembang dengan perempuan, walaupun cuma seorang sahabat)

dan, eita pun memahami persahabatan kami. eita, danny juga pernah berskype dengan teesya walaupun mereka tak rapat mana. teesya apabila dikirim gambar eita dan anak-anak, selalu kata:

"...eita chantek, untung zall."

dan saya dengan nakalnya akan berkata: "dah tu yang rugi siapa? teesya..?" teesya pula hanya ketawa sebelum berkata: "laki orang tak main la...", menjadikan saya makin galak menakal: "rugi la tak main laki orang..."

akhirnya, teesya akan mengamboi-amboikan saya seraya mengubah topik perbualan. begitulah kami walaupun mula mengurang aktiviti skype lantaran kesibukan kerja dan hal peribadi masing-masing.

pun begitu, kami masih akrab. masih berym, masih berskype, masih bertelefon bila ada kelapangan. masa saya di shah alam dan baru pulang dari program esastera di jakarta, teesya ada call, menyatakan beliau ada di penang.

kami bersembang seketika. sejujurnya, saya layan ala kadar sahaja kerana hani hamsyari dan kak ina marjana ada di sisi isteri dan anak.

lewat telefon, teeysa selalu berpesan: "zall jaga eita, danny baik-baik. kalau tak jaga, nanti teesya marah zall. kepada teesya, yelaahhhhh.

sebenarnya, saya bercadang untuk menemui teesya mac ini. kebetulan keluarga eita dari sabah mahu bercuti di langkawi. inilah masa paling sesuai kerana isteri ada bersama. tidaklah nanti, pertemuan kami dibalut kecurigaan.

saya ada menyatakan hal itu dan memintanya membantu membooking apartment tapi teesya kedengaran, agak keberatan.

kini, saya sudah tahu kenapa.

teesya seakan-akan tahu, hayatnya tidak sampai mac.

al-fatihah.

No comments:

Post a Comment